KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menziarahi pusara Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.

Kebawah Duli Paduka Baginda berdua tiba pada pukul 10 pagi diiringi anak allahyarham iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah.

Paduka Baginda berdua turut berkenan menziarahi pusara negarawan lain yang bersemadi di Makam Pahlawan iaitu Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein; Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn serta dua bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba.

Turut dilawati ialah pusara Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah iaitu isteri Perdana Menteri kedua dan pusara Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis. – KESULTANAN PAHANG
