KUANTAN, 16 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-92.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga ATM sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara atas dedikasi, keberanian serta semangat juang yang kental dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air.
Penghormatan yang setinggi-tingginya turut dizahirkan kepada para perwira ATM yang telah gugur ketika menjalankan tugas. Jasa, bakti dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang sepanjang zaman, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada.
Sejak penubuhannya, ATM telah berkembang sebagai sebuah pasukan yang moden, berwibawa dan disegani, menjadi benteng utama negara dalam memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara. Kecekapan dan keberanian ATM adalah lambang kekuatan bangsa serta semangat patriotisme yang tidak pernah luntur.
ATM bukan sahaja benteng pertahanan negara, malah simbol perpaduan, disiplin dan kesetiaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Keunggulan ATM adalah cerminan maruah bangsa dan kedaulatan negara yang merdeka.
Jadilah benteng pertahanan bukan sahaja di medan pertempuran, tetapi juga dalam menjaga integriti dan amanah yang dipikul. Hindarilah segala aktiviti negatif yang hanya merosakkan nama baik sekali gus merugikan negara.
Sempena ulang tahun yang ke-92 ini, Paduka Baginda berdua berdoa agar ATM terus diperkasa dengan teknologi serta kepakaran strategik, sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempertahankan tanah air dan panji-panji ATM terus berkibar megah demi keamanan, kemakmuran dan kedaulatan Malaysia yang kita cintai. -KESULTANAN PAHANG