KUANTAN, 6 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada seluruh rakyat negeri Pahang Darul Makmur dan umat Islam sekalian.
Aidiladha mengingatkan kita tentang erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT. Semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anakandanya Nabi Ismail A.S wajar menjadi pedoman kepada kita semua dalam menempuh dugaan serta mengutamakan kebajikan ummah.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT serta membawa keberkatan dan penyatuan dalam masyarakat. Semoga sambutan ini diraikan dengan penuh rasa syukur, harmoni dan kasih sayang sesama insan.
Marilah kita bersama-sama menghayati hikmah Aidiladha ini dengan memperkukuh perpaduan, memperbanyak amal ibadah dan terus berdoa agar Negeri Pahang serta negara kita sentiasa diberkati, aman dan sejahtera.
Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin. -KESULTANAN PAHANG