KUANTAN, 30 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri Pahang dan di Malaysia secara amnya.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar kehadiran bulan Syawal ini membawa seribu keberkatan, kedamaian dan kemakmuran buat semua.
Hari Raya ini bukan sahaja meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga mengingatkan umat Islam tentang erti kesabaran, pengorbanan, dan kasih sayang yang sejati serta peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki diri.
Dalam pada itu Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang wujud di kalangan rakyat negeri Pahang. Keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada sesama sendiri adalah lambang kebesaran hati dan ketabahan jiwa.
Pada kesempatan yang mulia ini, Paduka Baginda berdua mengajak rakyat untuk merenung sejenak, menghargai nikmat yang Allah berikan, dan memberi kemaafan kepada sesama kita. Inilah saat untuk membersihkan hati, melupakan segala perbezaan, dan merayakan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar rakyat Pahang.
Semoga setiap doa dan amal ibadah kita sepanjang Ramadan diterima oleh Allah, dan semoga kita sentiasa diberikan petunjuk serta hidayah-Nya dalam hidup ini.
Dalam kesibukan menyambut Aidilfitri ini, ada di antara kita yang masih berduka, yang kehilangan orang tersayang, atau yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup. Kepada mereka, Paduka Baginda berdua menyampaikan doa semoga Allah memberikan kekuatan, kesabaran, dan ketenangan.
Sekali lagi Paduka Baginda bertitah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya iaitu memandu dengan selamat.
“Pengguna jalan raya diingatkan supaya memeriksa keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan selain memandu dengan berhemah dan bersabar ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.
“Tidak lupa jua ucapan Selamat Hari Raya yang tulus ikhlas daripada saya sekeluarga khas buat warga Borneo,” titah Paduka Baginda
Dalam pada itu, Paduka Baginda mengingatkan semua agar menjaga kesihatan dalam kita bergembira menikmati hidangan yang lazar dengan tidak makan secara berlebih-lebihan.
Semoga Allah memberkati kita semua dengan kebahagiaan, kedamaian, dan kemakmuran yang abadi, di dunia dan akhirat. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.
Takaballahuminnawaminkum – KESULTANAN PAHANG








