KUANTAN 18 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wadar Penjara Penor, Allahyarham Muhammad Hariri Bin Kamarudin yang meninggal dunia hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 pagi di kediamannya di Taman Sri Inderapura, dekat sini.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan tersayang. – KESULTANAN PAHANG







