PEKAN, 4 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah memuji komitmen dan iltizam Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj mewujudkan Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah.
Paduka Baginda ketika bertitah pada majlis pecah tanah perkampungan tersebut di sini menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan KDPB Tengku Ampuan Pahang walaupun sedang sibuk dengan tuntutan sebagai seorang pelajar (peringkat sarjana di UIAM).
“Ini sedikit sebanyak nak menggambarkan, dan saya begitu kagum dengan kemampuan dan keupayaan Paduka Adinda (Tengku Ampuan Pahang) saya, yang mana banyak perkara yang difikir. Hari ini sahaja kita dah tengok, bukan hari ini sahaja, kebelakangan beberapa hari yang lepas telah terlancarnya Temasya Warisan Pahang dan itu memerlukan masa yang banyak. Jadi ini menggambarkan sebanyak-banyak kekuatan yang diberi oleh Paduka Adinda saya kepada program-program kemasyarakatan.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Paduka Adinda dan saya harap program Temasya Warisan Pahang ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa, dan juga dengan penglibatan daripada negeri-negeri lain, seperti Sarawak, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan lain-lain lagi,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada pihak penjara yang memberi kemahiran kepada mereka (prospek) untuk kembali semula mendapatkan nafas kehidupan yang baru.
“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya ia sebenarnya akan memberi satu keyakinan kepada mereka. Bila mereka keluar (penjara) nanti, sekurang-kurangnya mereka ada peluang untuk meneruskan kehidupan mereka dalam bidang pertanian atau bidang-bidang lain sekalipun, melalui projek ini nanti.
“Saya harap projek ini dapat dikendalikan dengan sebaik mungkin. Sebagaimana hasrat saya tadi, saya meminta anak-anak saya supaya dapat membantu untuk menentukan projek ini direalisasikan dalam masa yang terdekat ini.
“Bila mereka keluar nanti, sekurang-kurangnya mereka ada peluang untuk meneruskan kehidupan mereka, sama ada dalam bidang tenunan ataupun bidang-bidang lain melalui projek ini nanti,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG








