KUANTAN, 16 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negeri Pahang Darul Makmur dan di seluruh tanah air.
Guru adalah obor ilmu yang menerangi jalan generasi pewaris bangsa. Segala jasa, pengorbanan, dan iltizam yang dicurahkan oleh para guru dalam mendidik anak bangsa amatlah disanjung tinggi dan dihargai. Tanpa guru, tiadalah kejayaan dan kemajuan yang dapat dikecapi oleh negara.
Sempena sambutan Hari Guru ini, Paduka Baginda berdua mendoakan agar semua warga pendidik terus dikurniakan kesihatan, kekuatan, dan keberkatan dalam meneruskan amanah mulia ini. Sesungguhnya, jasa seorang guru kekal abadi dalam lipatan sejarah bangsa.
Guru Junjung Kasih, Bangsa Menjulang Budi. -KESULTANAN PAHANG