KUANTAN 20 Disember 2025 – Sebaik sahaja tiba di Pangkalan Udara Kuantan dari Sukan SEA Thailand tengah hari tadi, KDPB Sultan Pahang segera melakukan tinjauan udara bagi melihat sendiri situasi banjir di Pahang.
Paduka Baginda bersama Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menaiki helikopter meninjau kawasan-kawasan pedalaman khususnya sepanjang Sungai Pahang, Lepar, Pekan, Sungai Lembing dan Kuantan.
“Saya perhatikan ada kawasan yang belum pulih sepenuhnya meskipun cuaca bertambah baik. Jalan-jalan di kawasan Pulau Manis, Pekan dan Bukit Kenau masih terputus hubungan.
“Saya sentiasa berdoa agar cuaca bertambah baik dan Alhamdulilah…hari ini saya bukan sahaja membawa pingat emas tetapi saya bawa matahari juga. Dengan izin Allah SWT dari seberang laut telah membawa sinaran matahari ke Pahang,” titah Paduka Baginda bagi menceriakan mangsa-mangsa banjir.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang yang menempatkan 649 keluarga sebelum berangkat ke tiga PPS lain iaitu SM Chong Hwa, SK Mat Kilau dan SMK
Mat Kilau.- KESULTANAN PAHANG







