KUANTAN, 4 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan pemilik atau pengurus kelab golf di negeri ini khususnya di bawah kelolaan Kerajaan Negeri menjaga kelab masing-masing dengan baik.
Paduka Baginda bertitah, kelab-kelab yang ada perlu diselenggara dengan baik agar kemudahan yang ada sentiasa terjaga dan tidak rosak sehingga menyebabkan tiada orang yang mahu datang bermain.
“Saya berharap agar kelab-kelab golf yang ada ini dijaga dengan baik, kalau tak minat nak jaga lebik baik tutup sahaja. Tanah (kelab golf) itu boleh buat projek pembangunan lain yang mendatangkan manfaat lebih besar kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.
“Saya nak pengurusan kelab-kelab yang ada buat lebih banyak program, pertandingan dan promosi untuk menarik lebih ramai pemain golf sama ada profesional atau amatur datang untuk bermain atau untuk tujuan latihan,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah menzahirkan harapan agar pemain-pemain yang menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 terus menyokong kelab-kelab golf yang ada di negeri ini.
“Saya berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mampu menarik lebih ramai pemain.
“Tengku Ampuan Pahang juga mahu kelab-kelab golf yang ada buat pertandingan atau kejohanan khusus untuk pemain wanita sekaligus dapat mencungkil bakat golongan tersebut dalam sukan golf ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Jamuan Diraja dan pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut sama ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG








