KUANTAN, 26 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kebajikan dan kepentingan rakyat di negeri ini terus diutamakan.
Paduka Baginda bertitah, segala keluh kesah dan jerih perih rakyat sentiasa didengar dan dirasai apatah lagi kehidupan semakin menyesak dengan kenaikan kos sara hidup.
“Beta tidak mahu rakyat beta hidup dalam ketakutan dan kekurangan. Oleh itu, beta menitahkan agar kerajaan negeri Pahang menambah baik, meluaskan dan memperkemas pelaksanaan program Inisiatif Makmur Pahang.

“Bantuan bersasar mesti dipertingkat, dana kebajikan mesti ditambah, bantuan makanan, latihan pekerjaan dan perumahan rakyat perlu diperluas dan bukan hanya diumum, tetapi dilaksanakan dengan bersungguh dan berkesan.
“Beta mahu semua yang berkuasa di negeri ini mendengar degup nadi rakyat, bukan hanya di pentas perasmian, tetapi di medan realiti,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 KDPB Sultan Pahang yang diadakan di Istana Abdulaziz, hari ini.

Dalam pada itu Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan keperluan fasiliti kesihatan yang didambakan oleh rakyat agar mereka mendapat hak rawatan perubatan yang baik, cepat dan selamat sebagai satu hak asasi yang mesti dijamin oleh kerajaan.

“Beta dimaklumkan bahawa terdapat daerah di negeri ini belum memiliki kemudahan hospital daerah yang lengkap dan berskala penuh.
Beta difahamkan bahawa cadangan untuk membina Hospital Daerah Maran telah lama dibincangkan, namun sehingga kini masih belum direalisasikan.

“Sesungguhnya, pembinaan hospital ini perlu disegerakan, kerana ia bukan lagi bersifat opsyenal (pilihan), tetapi merupakan satu keperluan yang mendesak dan nyata.

“Beta mahu rakyat Maran tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada hospital di Temerloh atau Kuantan untuk rawatan asas dan kecemasan. Beta mahu setiap rakyat tidak kira di mana mereka tinggal, merasa dilindungi dan dipedulikan,” tegas Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG








