PULAU TIOMAN, 17 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Pulau Tioman perlu diletakkan sebagai keutamaan utama dalam agenda pembangunan negeri dan tidak boleh lagi dianggap sebagai kawasan yang “jauh di mata” sehingga terlepas daripada perhatian sewajarnya.
Paduka Baginda bertitah, keberangkatan ke pulau berkenaan bukan sahaja untuk bersama rakyat menyambut kedatangan Ramadan, malah bagi melihat sendiri keadaan semasa serta perkembangan pembangunan di kawasan itu.
“Saya hadir di sini dengan tujuan nak bersama rakyat saya di Pulau Tioman ini menyambut kedatangan bulan Ramadan. Dalam pada itu, ini kesempatan untuk berjumpa dan melihat sendiri keadaan di Pulau Tioman ini.
“Saya dah katakan dahulu, saya akan letak Pulau Tioman ini sebagai satu keutamaan daripada saya, dan keutamaan ini dari segi serba-serbi (aspek),” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya Tioman Resort di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 4 petang diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Paduka Baginda berkenan mendengar persembahan taklimat daripada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) serta Program Pembangunan Ekonomi Asnaf oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP).
Paduka Baginda di dalam titah menegaskan Pulau Tioman merupakan aset dan permata bagi negeri Pahang yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara terancang.
“Jangan kita sebagai kerajaan, sebagai Yang Berhormat, Pegawai Daerah, wakil rakyat atau Ketua Jabatan menganggap Pulau Tioman ini jauh di mata dan tidak diberi keutamaan. Please no more that attitude mentality.
“We must always look at the needs of the people of Tioman,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap infrastruktur asas di pulau berkenaan yang menurut Baginda masih ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Kalau kita bandingkan dari segi infrastruktur, Pulau Tioman ini masih lagi kebelakangan dari segi kemudahan asas. Jalan tidak begitu sempurna, elektrik tidak begitu sempurna, air tidak begitu sempurna dan rumah-rumah pun ada yang tidak begitu sempurna.
“Sudah sampai masanya segala tumpuan perlu diberi kepada Pulau Tioman ini,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







