PULAU TIOMAN, 19 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan rasmi Paduka Baginda ke Pulau Tioman dan Rompin, sambil menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa pembangunan serta kebajikan rakyat di negeri ini.
Dalam titah, Paduka Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan berterusan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, khususnya di Pulau Tioman. Paduka Baginda turut menghargai usaha wakil rakyat dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam menjayakan program lawatan tersebut.
“Sepanjang lawatan di sini saya berkesempatan meninjau beberapa lokasi serta projek kecil termasuk cadangan projek pertanian yang diusulkan oleh Persatuan Peladang.
“Saya mahu lihat lebih banyak projek pertanian dihidupkan semula dan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil dari tanah besar,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Rakyat di Pulau Tioman, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyatakan komitmen untuk mengemukakan segala pandangan dan keperluan yang dibangkitkan oleh penghulu dan ketua kampung kepada kerajaan negeri serta kerajaan pusat, khususnya berkaitan keperluan membaik pulih jeti di Kampung Mukut, Kampung Paya dan Kampung Juara.
Menurut Baginda, pembaikan tiga hingga empat projek jeti itu dianggarkan menelan kos sekitar RM40 juta dan amat penting demi kelangsungan industri pelancongan serta kemudahan pengangkutan barangan ke pulau berkenaan.
“Jeti-jeti ini adalah nadi kepada pelancongan dan sumber bekalan penduduk. Ia satu keperluan asas yang mesti diberi keutamaan,” titah Paduka Baginda.
Selain itu, Paduka Baginda turut menyentuh keperluan penyediaan kemudahan asas lain termasuk pembinaan mini hospital, penambahbaikan laluan dan pemasangan lampu solar di beberapa kampung seperti Salang, Juara, Mukut, Nipah, Paya dan Genting, bukan hanya tertumpu di Kampung Tekek.
Menyentuh soal pembangunan pelancongan, Paduka Baginda memaklumkan bahawa cadangan pembinaan landasan kapal terbang baharu sebelum ini tidak diteruskan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Namun begitu, usaha untuk meningkatkan akses dan kemudahan pelancongan tetap perlu diteroka termasuk cadangan pembinaan laluan pejalan kaki (boardwalk) secara berperingkat dari Kampung Air Batang ke Salang, tertakluk kepada kemampuan kewangan.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda mendoakan agar seluruh rakyat Pahang dapat menunaikan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan keberkatan serta terus memperkukuh hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat.
“Selagi ada kudrat dan nafas, saya akan terus berkhidmat untuk rakyat negeri Pahang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






