LIPIS, 6 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Seni Kulinari dan Gastronomi di D’Kemahang Serenity, Benta di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi disambut Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak mewakili Menteri Besar Pahang serta Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Azman Mohd Yusuf.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan menyempurnakan gimik pelancaran NOSS Seni Kulinari dan Gastronomi sebelum berkenan menerima persembahan buku NOSS dan kemudiannya mengurniakan sijil penghargaan kepada 17 panel pembangunan NOSS.
Paduka Baginda turut berkenan berangkat melawat ruang pameran yang turut diserikan dengan acara pertandingan memasak serta demonstrasi masakan.
KESUMA melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) komited memperkukuh ekosistem TVET negara melalui pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard, NOSS).
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara, tetapi juga memastikan sistem pensijilan kemahiran Malaysia kekal relevan dan setaraf piawaian antarabangsa, sebagaimana amalan di negara-negara maju seperti Jerman, Finland, Korea dan Jepun.
Pembangunan NOSS Tahap Tinggi ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama panel industri yang berpengalaman luas serta memiliki kepakaran mendalam dalam bidang masing-masing.
Menjadikan NOSS bagi Kulinari dan Gastronomi ini lebih berharga, KDPB Tengku Ampuan Pahang atas perkenan membenarkan dua buah karya tulisan Tuanku, Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang, dijadikan sebagai rujukan dalam pembangunan NOSS Seni Kulinari dan Ketukangan Gastronomi ini. -KESULTANAN PAHANG






