KUCHING, 7 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 9.30 malam tadi sempena lawatan kerja selama tiga hari di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi paduka anakanda, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut oleh isteri kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datin Dayang Halimah Abang Paul.
Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke beberapa program termasuk ‘Sense of Malaysia’, Pelancaran Borneo International Textile Festival 2025 Expo dan Majlis Pelancaran Borneo International Textile Festival 2025.
Seterusnya, baginda bersama anakanda turut dijadualkan menghadiri Seminar Borneo International Textile Festival 2025 dan juga berkenan ke lawatan sempena Ulang Tahun Ke-3 Juma’ani Pavilion pada Isnin ini.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Datu Dr Sabariah Putit; isteri kepada mantan Timbalan Ketua Menteri, Datin Patinggi Puan Sri Lorna Enan Muloon; dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli. – KESULTANAN PAHANG






