PEKAN, 1 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke program ‘Pesta Nasi’ anjuran Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan kerjasama The Green Initiative Empire di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10.00 pagi disambut Ahli Perbadanan Muzium Negeri Pahang serta tetamu kehormat yang terdiri daripada Tuan Yang Terutama Duta-duta dan isteri daripada 22 buah negara, sekali gus menyerlahkan hubungan diplomatik yang erat serta mempromosikan warisan budaya negeri Pahang ke peringkat antarabangsa.
Antara Duta yang hadir ialah dari negara benua Afrika iaitu Zimbabwe, Algeria, Zambia, Ghana, Uganda, Sudan, Senegal, Eswatini, Mesir, Libya, Morocco, Somalia, Mauritius, Nigeria, Namibia, Afrika Selatan, Tanzania, Guinea, Kenya dan juga daripada Emiriah Arab Bersatu.
Sejurus keberangkatan tiba, Paduka Baginda berkenan membawa tetamu kehormat melawat sekitar Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah bagi meninjau hasil kraf tempatan yang diusahakan oleh penggiat industri kreatif negeri.
Lawatan ini mencerminkan keprihatinan Paduka Baginda terhadap usaha memartabatkan seni warisan dan memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Pada acara sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut berkenan menyempurnakan perasmian Galeri Tengku Ampuan II yang dijangka menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam usaha memelihara serta mempamerkan khazanah sejarah dan budaya negeri Pahang kepada masyarakat umum dan pelancong.
Program ‘Pesta Nasi’ yang berlangsung di perkarangan perkampungan ini turut mengetengahkan kepelbagaian hidangan berasaskan nasi seperti nasi lemak, nasi dagang dan nasi tumpang sebagai simbol tradisi dan identiti masyarakat Malaysia.
Penganjuran program ini juga bukan sahaja mengangkat nilai warisan makanan tempatan, malah turut menyokong inisiatif kelestarian serta memperkukuh usaha Paduka Baginda sendiri dalam mempromosikan keistimewaan kraf, budaya serta pelancongan negeri Pahang tercinta.
Usai program berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku kemudiannya berkenan membawa kesemua delegasi ke Penjara Penor untuk melihat sendiri aktiviti menenun oleh prospek di sana. -KESULTANAN PAHANG






