KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenan bercemar duli berangkat ke Program Syarahan Profesor oleh Pensyarah Jabatan Kewangan, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS), Prof. Datin Dr Nurdianawati Irwani Abdullah di UIAM di sini, hari ini.

Syarahan bertajuk 1 Malaysia, 1 Impian Takaful : Terlalu Sukar Untuk Dicapai? itu memberi fokus kepada pelan tindakan komprehensif ke arah merealisasikan sasaran “1 Rakyat Malaysia, 1 Takaful” dengan menggariskan beberapa inisiatif pelaksanaan terutama berkenaan Pelan Perlindungan Kesihatan Asas secara sukarela menjelang 2026.

Paduka Baginda turut berkenan melancarkan buku bertajuk From Shariah to Statute: Legal and Regulatory Framework of Islamic Finance in Malaysia yang ditulis oleh Prof. Datin Dr Nurdianawati.

Hadir sama Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki; para pemain industri; para pensyarah dan pelajar. – KESULTANAN PAHANG









