KUALA LUMPUR, 10 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Jabatan Sejarah di Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10 pagi disambut Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Professor Dr Haris Abdul Wahab.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Professor Dr. Leonard Y. Andaya (Profesor Pelawat dari History Department, University of Hawaii at Manoa, Honolulu.
Seminar dengan tajuk ‘The “Bugis” in Malaysian History’ itu turut dihadiri pensyarah serta mahasiswa Jabatan Sejarah, UM.
Kuliah ini merungkai perkembangan pengaruh politik orang Bugis menyerap masuk ke dalam lingkungan diraja dan golongan bangsawan Melayu selepas pembunuhan Sultan Mahmud Syah dari Johor pada tahun 1699 sehingga membawa kepada kemunculan satu identiti Bugis-Melayu menjelang pertengahan abad ke-18.
Kemudahan dan kejayaan pembentukan identiti Bugis-Melayu yang berterusan hingga ke hari ini dapat dikaitkan dengan persamaan antara kedua-dua masyarakat Bugis dan Melayu sebagai komuniti pesisir maritim. -KESULTANAN PAHANG






