KUANTAN, 9 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor (PLPB), di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Dato’ Hajah Rubiah Haji Wang serta YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Paduka Baginda berkenan merasmikan majlis ini yang merupakan simbolik kepada pembukaan semula Pusat Latihan JAKOA yang telah dinaik taraf dengan kos berjumlah RM30 juta dilengkapi blok pentadbiran, blok kuliah, bengkel jahitan, makmal komputer, asrama, dewan makan, kuarters penyelia, blok kemahiran, surau dan fasiliti sukan. Pusat latihan ini telah mula beroperasi semula secara pentadbiran pada 26 September 2024.
Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor ini merupakan usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkasa masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Orang Asli, melalui penyediaan peluang latihan kemahiran yang berstruktur dan diiktiraf.
Dengan kelengkapan fasiliti moden serta penawaran kursus TVET berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pusat ini menyasarkan generasi belia Orang Asli yang kompetitif dalam pasaran kerja, berpotensi menceburi bidang keusahawanan, seterusnya berupaya memperkasa taraf sosioekonomi komuniti mereka. -KESULTANAN PAHANG