KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dan Tadbir Urus) kepada Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Muhammad Shehbaz Sharif.
Istiadat Konvokesyen Khas ini diadakan di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, YB Dato’ Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan UIAM di dalam titah menyifatkan majlis ini merupakan suatu penghormatan besar kepada UIAM dan Paduka Baginda sendiri untuk bersama-sama meraikan seorang tokoh pemimpin yang disegani di pentas antarabangsa.
“Tuan Yang Terutama Muhammad Shehbaz Sharif telah mengabdikan lebih empat dekad dalam ranah kehidupan awam, termasuk tiga penggal sebagai Ketua Menteri Punjab dan kini sebagai Perdana Menteri yang membina kehidupan dan mengangkat martabat masyarakat melalui pendidikan, kesihatan, serta peluang kehidupan.
“Inisiatif beliau seperti penubuhan Dana Endowmen Pendidikan Punjab telah membuka pintu pengajian tinggi kepada ribuan pelajar yang mungkin tidak pernah bermimpi menjejakkan kaki ke universiti. IItulah kepimpinan yang menyentuh hati dan mengubah masa depan,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa di saat dunia sering mengutamakan imej melebihi integriti, Tuan Yang Terutama Muhammad Shehbaz Sharif membawa kepimpinan sebenar berasaskan keikhlasan, khidmat dan keteguhan prinsip, selari dengan sabda Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan sebagai sahabat sejati Malaysia dan salah satu penaja pengasas UIAM.
“Hari ini, para pelajar, ahli akademik dan alumni dari Pakistan terus mewarnai universiti ini serta menjunjung misi bersama dalam berkhidmat kepada ummah,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah bahawa penganugerahan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian malah merupakan perayaan terhadap nilai yang dijunjung bersama iaitu keadilan, khidmat, dan kecemerlangan yang dipandu oleh iman.
“Semoga penganugerahan ini datang bersama keberkatan Allah SWT, serta bimbingan-Nya yang berterusan untuk keamanan di bumi dan keharmonian sesama manusia.
“Ia juga diharap menjadi inspirasi kepada para pelajar dan pemimpin masa hadapan untuk berkhidmat dengan keikhlasan dan dedikasi, sebagaimana yang telah ditunjukkan sepanjang hayat oleh Tuan Yang Terutama Muhammad Shehbaz Sharif,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG