KUALA LUMPUR, 28 September, 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Penutup ‘CIMB Artober Art & Soul 2025’ di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Pengerusi CIMB Group, Dato’ Syed Zaid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin.
Dalam titah, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada CIMB atas penganjuran festival tahunan Artober ini yang bukan sekadar sebuah acara, tetapi merupakan satu inisiatif penting yang memastikan seni tidak pupus.
“Dengan menghimpunkan para seniman dalam pelbagai bentuk tradisional, kontemporari, digital, dan persembahan, CIMB menyediakan sebuah platform yang amat bernilai untuk kreativiti, kolaborasi, dan inspirasi.
“Komitmen mereka membuktikan bahawa seni bukanlah sesuatu yang harus disembunyikan, sebaliknya sesuatu yang wajar diraikan dan dikongsi. Seni adalah jiwa sesebuah bangsa, dan CIMB telah memainkan peranan penting dalam memastikan jiwa ini terus hidup,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut memuji acara yang begitu mengagumkan dan terpukau dengan kualiti serta keindahan semua karya seni yang dipamerkan.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Izzy Arope, syabas atas usaha cemerlang beliau dalam menghimpunkan semua penggiat seni Malaysia di bawah satu bumbung. Pameran ini sungguh luar biasa di mana karya tradisional, moden, dan kontemporari dipamerkan seiring, menzahirkan kepelbagaian dan kedalaman kreativiti bangsa kita.
“Melihat nama-nama besar seperti Melinda Looi dan Allahyarham Ibrahim Hussein bersama-sama yang lain, serta menyaksikan kerjasama antara Pink Jambu, Cheminahsayang, dan Yayasan Temenggung Jugah, amatlah memberi inspirasi.
“Satu hari sahaja tidak cukup untuk menelusuri dewan ini. Setiap orang mesti meluangkan masa untuk melihat, menghayati dan benar-benar menghargai karya agung yang dipamerkan. Inilah peluang yang tidak harus dilepaskan oleh mana-mana rakyat Malaysia untuk meraikan, mempelajari, dan berbangga dengan seniman-seniman kita,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda turut bertitah menyeru generasi muda agar menanam rasa cinta yang mendalam terhadap budaya dan seni warisan bangsa sebagai khazanah yang perlu dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
“Jika anda seorang pelukis, teruskan melukis. Jika anda seorang penenun, teruskan menenun. Jika anda seorang penari, teruskan menari. Jika anda seorang pemuzik, teruskan bermain.
“Ciptalah gaya anda sendiri, jadilah inovatif, namun jangan sekali-kali melupakan akar budaya anda. Apa yang anda hasilkan hari ini mungkin akan menjadi khazanah warisan esok hari,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, seni bukan sekadar mata pelajaran, sebaliknya merupakan perjalanan sepanjang hayat yang mengajar kesabaran, disiplin, kreativiti dan inovasi.
Seni, jelas Paduka Baginda ialah satu bentuk pendidikan berterusan yang memperkayakan jiwa, mendekatkan manusia dengan budaya, serta membuka ruang penemuan tanpa penghujung.
Dalam titah sama Paduka Baginda turut menegaskan bahawa misi memelihara dan meraikan seni bukan hanya tanggungjawab istana atau kerajaan, tetapi amanah bersama seluruh lapisan masyarakat.
“Setiap insan membawa dalam dirinya percikan seni yang perlu dipupuk, digalakkan, dan diberi ruang untuk berkembang.
“Kita tidak pernah tahu bakat dan kemahiran terpendam yang wujud dalam diri kita sehinggalah diberi peluang untuk menyerlah,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG