PEKAN, 13 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastic Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan serta Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Haji Sharif.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan bertitah berkongsi kepentingan susu ibu serta pemakanan yang berkhasiat untuk ibu dan bayi bagi memastikan perkembangan kesihatan sentiasa terjamin.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menandatangani plak perasmian, menyempurnakan penyampaian hadiah seterusnya melawat reruai pameran yang disediakan sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (MPSI) 2025 yang turut mendapat kerjasama rakan strategik Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Pekan. -KESULTANAN PAHANG