KUCHING 7 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Sense of Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.
Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba pada pukul 10 pagi disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Cukup istimewa apabila Paduka Baginda berkenan melakukan demonstrasi pembuatan Kek Lapis Sarawak, serta menyaksikan demonstrasi Tenunan Songket, Pua Kumbu dan Sulaman Keringkam.
Sense of Malaysia merupakan rangkaian gedung cenderamata berkonsepkan seni, budaya dan produk tempatan, diusahakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Paduka Baginda yang juga Penaung Kraf Diraja Jabatan Penjara mencadangkan agar produk keluaran institusi penjara turut dipasarkan di sini sebagai nilai tambah baharu.
Sebanyak 25 komuniti usahawan tempatan dalam pelbagai kategori, termasuk fesyen, kraf, tekstil, aksesori, makanan kering, kosmetik dan kesihatan menempatkan produk mereka untuk dijual di Sense of Malaysia. – KESULTANAN PAHANG






