KUANTAN, 7 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Felda Lepar Hilir 3, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Tuanku berkenan menyampaikan kunci rumah bernilai RM75,000 itu kepada penerima, Encik Mukhtaruddin bin Ab. Hamid.
Keberangkatan Kebawah Duli Tuanku disambut Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Sharudin bin Jali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Islanizam bin A. Halim.
Seusai majlis, Kebawah Duli Tuanku turut berkenan menyantuni penduduk setempat dan berkenan menikmati santapan petang di kedai berdekatan. -KESULTANAN PAHANG