TEMERLOH, 13 Januari 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RuRASA) di Kg. Sementeh, Temerloh.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 3.15 petang disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang.
Turut hadir mengiring ialah Duta Besar UAE ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Mubarak Saeed Aldhaher.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan mengurniakan enam buah rumah dilengkapi perabot kepada enam penerima dari daerah Temerloh dan Maran. – KESULTANAN PAHANG







