KUANTAN, 9 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pemakaian Sayap Penerjunan Peserta Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air Pengiring Rapat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 3.45 petang disambut oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU), Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi Haji Mustapha TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer Amin TUDM serta Pengelola Bijaya Diraja kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari Dato’ Haji Yahaya TUDM.
Kursus yang diadakan selama sepuluh hari itu diselaraskan oleh Juruiring Udara kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kolonel Muhamad Razlan Jamaluddin TUDM melibatkan seramai seorang pegawai dan 13 anggota lain-lain pangkat dari kalangan PDRM dan TUDM.
Kesemua peserta telah menjalani kursus secara teori di Rejimen Tentera Udara Malaysia (TUDM), Jugra dan melaksanakan latihan amali di Pangkalan Udara TUDM Kuantan sebanyak 12 kali penerjunan.
Turut hadir mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku ialah Pengarah Jabatan Bomba Negeri Pahang, Dato’ Mohd Razam Taja Rahim. -KESULTANAN PAHANG






