KUANTAN, 30 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat ke Majlis Pembukaan Latihan Pasukan Khas TUDM bersama Kursus Komando TUDM Siri 32/2025.

KDPM Tengku Mahkota Pahang turut berkenan menyertai dan menjalani Latihan PASKAU dan Kursus Komando TUDM yang dijangka berlangsung selama tiga bulan bermula semalam dan dijangka tamat akhir Oktober 2025 nanti.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengelola Bijaya Diraja Utama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM dan Panglima Rejimen TUDM, Brigadier Jeneral Mohd Zairul Hisham bin Muhamad Ibrahim TUDM.

Pasukan Khas Udara (PASKAU) merupakan unit elit di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan ruang udara negara.

Pasukan ini ditubuhkan bagi menangani situasi kritikal seperti rampasan pesawat, ancaman ke atas pangkalan udara serta operasi khas berisiko tinggi kepada negara. -KESULTANAN PAHANG