ROMPIN, 26 Oktober 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Khas TUDM (PASKAU) Siri 32/25 di Pantai Hiburan, hari ini.
Majlis berkenaan turut mencatat sejarah kerabat Diraja Pahang apabila KDPB Sultan Pahang selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Mejar TUDM kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berjaya menamatkan latihan kepakaran PASKAU.
Paduka Baginda turut mengurniakan Beret Biru PASKAU, Lanyard Biru dan Dagger PASKAU kepada KDPM Tengku Mahkota Pahang dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM yang turut berjaya menamatkan latihan sama.

Turut mengiring Paduka Paduka Baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan dan pencapaian KDPM Tengku Mahkota Pahang menamatkan kursus berkenaan.
“Saya anggap hari ini satu hari yang cukup istimewa bagi saya dan keluarga saya kerana dapat melihat dengan bangga lahirnya seorang PASKAU daripada kalangan keluarga saya.
“Mudah-mudahan ramai lagi Paskau akan dilahirkan daripada keluarga saya. Tahniah juga kepada Panglima Tentera Udara serta pegawai dan anggota PASKAU yang berjaya menamatkan latihan ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa serta ahli keluarga yang hadir untuk melihat pegawai dan anggota yang tamat latihan pada hari ini.
“Kita harus rasa bersyukur dan mudah-mudahan anak-anak ni (anggota PASKAU) ini akan terus cekal berkhidmat untuk negara,” titah Paduka Baginda.
Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 telah dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam bermula dari 28 Julai 2025 hingga 26 September 2025 di bawah tanggungjawab Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Raymond bin Radsung TUDM.
Kursus ini dijalankan selama 12 minggu dan dilaksanakan di SLTT bagi fasa latihan peringkat pangkalan iaitu selama empat minggu, seterusnya peringkat luar pangkalan iaitu selama 8 minggu di sekitar Daerah Rompin, Pahang. -KESULTANAN PAHANG







