TEMERLOH, 22 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang yang berlangsung meriah di Dewan Sri Lanchang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.
Majlis bertemakan ‘Moh Beraya @ Negeri Pahang’ itu menerima sambutan luar biasa apabila kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri perkarangan dewan seawal pukul 9 pagi, sekaligus mencerminkan semangat perpaduan dan kemeriahan Aidilfitri dalam kalangan rakyat negeri ini.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Bainda Tuanku bertitah bahawa tanggungjawab sebagai seorang raja bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya ketika musim perayaan yang tetap menuntut pemimpin untuk bersama rakyat.
Menurut Paduka Baginda, kehadiran ribuan rakyat ke majlis rumah terbuka di Istana AbdulAziz semalam dan Dewan Sri Lanchang memberi suntikan semangat untuk terus bekerja dan berkhidmat.
“Walaupun Hari Raya adalah hari cuti, kita tetap perlu bekerja, melayan rakyat, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Saya telah dua hari bersama rakyat di Kuantan dan di sini (Lanchang),” titah Paduka Baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang atas penganjuran majlis berkenaan serta kepada semua penyedia katering yang menyediakan hidangan kepada para tetamu.
“Saya berasa bangga kerana dapat hadir di Lanchang ini dan melihat peningkatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat apabila dapat bersama-sama berkumpul dan menikmati juadah di sini, tambahan pula dengan hidangan Cendol Lily yang disediakan, sudah lama saya tidak menikmatinya,” titah Paduka Baginda.
Selain itu, Paduka Baginda menegaskan kepentingan menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat serta mendoakan agar negeri Pahang terus dilindungi Allah SWT dan mencapai pembangunan serta kesejahteraan berterusan.
Paduka Baginda dalam masa sama mengajak rakyat supaya mendoakan agar konflik peperangan melibatkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Iran dapat ditamatkan, memandangkan kesannya turut dirasai masyarakat di seluruh dunia. -KESULTANAN PAHANG







