BANGKOK, 18 Disember 2025 – Keberangkatan paduka ayahanda dan bonda di Siam Polo Park, Samut Prakan, di sini menjadi pemangkin semangat buat YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bersama skuad polo negara mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan menentang Brunei petang semalam.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menyaksikan kejohanan polo turut meniup semangat pasukan negara yang berjaya membolosi tempat ke final, esok.
Keberangkatan paduka baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Turut hadir memberi sokongan tidak berbelah bahagi ialah YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal turut berada di venue sama untuk menyambut keberangkatan Paduka Baginda berdua serta memberi sokongan kepada barisan skuad negara terutamanya atlet Pahang yang berjuang di kejohanan tersebut.
Paduka Baginda berdua dijadualkan berada di Bangkok sehingga Sabtu ini bagi menyaksikan kejohanan berkenaan yang menampilkan aksi skuad polo negara gagah dipimpin YAM Tengku Muhammad.
Di kesempatan sama, Paduka Baginda berdua turut berkenan bertemu dan memberi kata-kata semangat kepada barisan atlet lain yang turut membawa misi mengharumkan nama negara pada Sukan SEA Thailand 2025. -KESULTANAN PAHANG








