MASAK SETIAP HARI…
Demikian titah KDPB Tengku Ampuan Pahang kepada cef di Istana Abdulaziz untuk menghantar makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pahang terutama di sekitar Kuantan.
Hari ini, 19 Disember 2025 merupakan hari ketiga dapur istana ‘meriah’ seawal jam 5.30 pagi bagi menyediakan makanan kurniaan KDPB Sultan Pahang dan KDPB Tengku Ampuan Pahang.
Keprihatinan Paduka Baginda berdua tidak diperlu disangkal kerana ia bagaikan “Deoxyribonucleic acid” (DNA) atau sifat semulajadi yang cakna, mesra rakyat dan sering turun padang.
Dengan diketuai Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM, sebanyak 340 bungkus nasi goreng cina telur mata, kuetiau goreng telur mata dan bihun goreng telur mata beserta minuman diagihkan di PPS Sekolah Kebangsaan Melati di sini.
Penghantaran kali ini bersama Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang menggunakan Trak tiga tan GS Cargo HICOM Handalan II (4 Briged Mekanize) berikutan keadaan laluan yang masih dilimpahi air.
Dato’ Mohamed Zahari turut meninjau keadaan kebersihan, kelengkapan dan keselamatan di sekitar PPS tersebut seperti yang dititahkan KDPB Sultan Pahang.- KESULTANAN PAHANG






