PEKAN, 7 Januari 2026 – “Kurniaan Kebawah Duli Tuanku ringgankan beban kehidupan kami.”
Demikian luahan golongan asnaf di sekitar Nenasi di sini selepas menerima kurniaan yang diterima daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Kurniaan itu ternyata meringankan beban mereka menampung kehidupan seharian malah menjadi semangat untuk memulakan kehidupan di tahun baharu ini.
Bagi Faridah Samsudin, 60, dari Kampung Nenasi Pantai, cuaca tidak menentu kini menyukarkan suaminya, Izal Khairi Hassan, 62, mencari rezeki.
“Suami saya hanya kerja kampung, potong rumput dan baiki rumah. Cuaca hujan memang tak dapatlah nak bekerja seperti biasa.
“Junjung kurnia tuanku di atas pemberian bantuan ini, kami amat bersyukur dan hargai keprihatinan tuanku terhadap kesusahan rakyat,” katanya.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku pada pukul 2.45 petang di Masjid Nenasi dengan memandu sendiri disambut pemimpin setempat.
Paduka Baginda berkenan menyampaikan kurniaan kepada 80 orang asnaf selain kurnian bantuan persekolahan kepada 10 orang kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan. – KESULTANAN PAHANG







