JUNJUNG KASIH TUANKU..
Demikian luahan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Sri Mahkota, Kuantan, Pahang apabila mengetahui sumbangan makanan adalah daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Nur Izzati Abdul Halim, 37, dari Perumahan Makmur Jaya sama sekali tidak menyangka menu dari dapur istana merupakan rezeki makan malam mereka hari ini (17 Disember 2025).
“Alhamdulilah.. terima kasih Tuanku. Rezeki kami di sini. Saya juga amat bersyukur kerana rezeki di PPS ini tidak pernah putus. Tak sempat lapar makanan dah sampai,” kata ibu tiga anak ini yang sudah dua hari tinggal sementara di situ.
Nur Izzati merupakan salah seorang daripada 96 orang mangsa banjir yang ditempatkan di situ selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak dua hari lalu.
Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM menyampaikan kurniaan tersebut terus kepada mangsa-mangsa banjir.
Sebanyak dua PPS yang terlibat pada hari pertama pengagihan makanan dengan kerjasama Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang membabit PPS Taman Sri Mahkota dan PPS Wisma Belia, Indera Mahkota. – KESULTANAN PAHANG







