PEKAN, 2 September 2025 – Program bertemakan “Laluan Sutera Budaya: Benang dan Budi” serta Lawatan Eksplorasi Budaya berlangsung meriah hari ini sempena Temasya Warisan Pahang dan Hari Persahabatan Malaysia-Afrika 2025.
Acara ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj pada pukul 10 pagi.
Sesi khas ‘Alhambra dan Tenun Pahang Diraja’ menampilkan Dr. Kamree Aziz dari Humanlogica. Sesi ini meraikan keharmonian seni bina Islam Maghribi dengan kehalusan Tenun Pahang Diraja, termasuk aplikasi inovasi kecerdasan buatan (AI) dalam fesyen, warisan budaya dan pendidikan.

Selain itu, TVET MARA dengan kerjasama KKTM Rembau, Muzium Pahang, Bahagian Kemahiran dan Teknikal (TVET MARA), The Green Initiative Empire dan Media Path Enterprise turut mempersembahkan pertunjukan fesyen khas yang menggabungkan seni kontemporari moden dengan warisan tradisi.
Delegasi seterusnya dibawa melawat ke Pusat Tenun Diraja Pahang, termasuk Institut Tenun Pahang Diraja, Serambi Pahang, Balai Pameran Tengku Ampuan I & II, Pavilion Sarawak, serta demonstrasi dan jualan kraftangan tempatan. Para tetamu turut berpeluang menyaksikan seni kraf warisan, tenunan sutera, lukisan tempatan serta pelbagai produk tradisional.
Acara turut diserikan dengan jamuan tengah hari serta sesi merasa durian istimewa, diikuti dengan pembentangan oleh Invest Pahang di Pavilion Laluan Sutera Budaya mengenai peluang pelaburan dan inisiatif sokongan terhadap pembangunan budaya, warisan dan kelestarian.
Delegasi kedutaan diketuai oleh Tuan Yang Terutama Constance Chemwayi iaitu Dekan Ketua-Ketua Misi Afrika di Malaysia merangkap Duta Besar Republik Zimbabwe bersama 19 wakil kedutaan Afrika daripada Algeria, Mesir, Eswatini, Ghana, Guinea, Kenya, Libya, Mauritius, Maghribi, Namibia, Nigeria, Senegal, Somalia, Afrika Selatan, Sudan, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe. -KESULTANAN PAHANG






