CAMERON HIGHLANDS 5 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyifatkan lawatan kerja di daerah itu cukup mengimbau nostalgia sewaktu muda terutama ketika bersama-sama paduka ayahanda, paduka bonda dan paduka nenda.
“Saya anggap lawatan ini sebagai lawatan nostalgia. Sudah lama saya tidak dengar taklimat terperinci berkaitan Cameron Highlands. Saya anggap Cameron Highlands satu daerah yang cukup dekat di hati saya…dapat mengimbas kembali banyak kenangan manis waktu saya muda terutama ketika bersama paduka ayahanda, bonda dan nenda.
“Setiap sudut dan pelosok ada sejarahnya. Ada kenangan. Justeru, saya nak tengok Cameron Highlands sebagai daerah yang cantik dan menyejukkan hati apabila kita melawatnya,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan bercemar duli berangkat ke Persembahan Taklimat Pengurusan Tanah, dan Pembangunan Daerah Cameron Highlands di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah dan Tanah di sini hari ini.
Taklimat dipersembahkan oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nurdin; Ketua Pegawai Eksekutif Cameron Highlands, YH Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat dan Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla Mujid.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa kerana sepanjang lawatan kerja menyaksikan banyak perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya pencerobohan tanah dan merosakkan imej alam sekitar.
“Dua perkara ini saya anggap sebagai satu bebanan kepada pihak pentadbiran di Cameron Highlands,” titah baginda
Di samping itu, Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri terutama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang terus memperkasakan usaha penguatkuasaan dalam usaha melestarikan kembali kawasan pelancongan ini. – KESULTANAN PAHANG






