Perasaan teruja yang sukar diungkapkan kata, seakan-akan berada di alam mimpi. Itulah yang dirasai oleh dua penuntut Universiti Automotif DRB-Hicom, Pekan apabila menerima ucapan hari lahir secara langsung daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Nur Azreen binti Suliman dari Selangor dan Allysa Sofea binti Mohd Halimi dari Johor bersama rakan mereka, Rosayuni Nur Shahaain yang berasal dari Sabah, langsung tidak menyangka sambutan hari lahir yang dirancang secara sederhana bertukar menjadi detik paling bermakna dalam hidup mereka.
Ketika meraikan hari istimewa itu di kafe Matcha & Dessert, Laman Pekan Lama, ketiga-tiga mahasiswi tersebut bertuah apabila berpeluang bertemu sendiri Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang turut berkenan berangkat ke lokasi berkenaan.
“Kami tertarik untuk datang sambut hari lahir di kafe ini sebab pernah nampak posting (hantaran) di Kesultanan Pahang bahawa tuanku pernah singgah makan di sini.
“Macam mimpi, memang tak sangka bila kami datang hari ini (semalam) tuanku juga turut ada di sini. Lebih teruja kami turut dapat nasihat dari tuanku sendiri.
“Tuanku pesan agar belajar rajin-rajin selain mengurniakan kami wang untuk belanja pendidikan. Sungguh, tuanku seorang raja yang mesra rakyat dan sangat baik hati,” kongsinya dengan penuh rasa teruja.
Pada pertemuan itu, Paduka Baginda turut berkenan melayani permintaan tiga orang mahasiwi tersebut yang ingin merakam momen istimewa bersama dengan ucapan hari lahir. -KESULTANAN PAHANG







