KUANTAN 9 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama-sama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Tujuh Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini semalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan yasin, doa selamat dan solat Maghrib yang diimamkan oleh Mufti Pahang, Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim.
Pada 11 Januari 2019, Jemaah Pangkuan Diraja Pahang telah mengisytiharkan pelantikan Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Sultan Pahang yang ke-34 menggantikan paduka ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Seterusnya, pada 15 Januari 2019 di Istana Abu Bakar, Pekan menjadi saksi kepada detik bersejarah apabila pengisytiharan dan pengumuman rasmi pelantikan Sultan Pahang dimasyhurkan.- KESULTANAN PAHANG







