BENTONG, 10 Januari 2026 – Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini lebih bermakna bagi Chow Loy Kee, 67, dari Kampung Perdak selepas menerima kurniaan rumah sumbangan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui Emirates Red Crescent dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Chow sebelum ini terpaksa tinggal di dalam kontena yang terletak di kebun durian sejak rumah miliknya musnah akibat banjir pada Disember 2021.
“Saya memang sangat gembira (apabila dimaklumkan dapat rumah). Memang sedih sebab rumah yang musnah itu rumah saya bersama keluarga dari kecil.
“Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini lebih bermakna. Saya nak ucap terima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan juga pihak UAE kerana bagi rumah baru kepada saya di sini,” katanya.
Ucapan junjung kasih turut disampaikan oleh seorang pesara dari Kampung Karak, Haji Ishak Bidin, 70, yang turut menerima kurniaan sama selepas rumahnya musnah akibat banjir.

“Saya dapat tawar rumah bantuan banjir ni pada tahun 2023. Saya rasa sangat-sangat gembira dengan bantuan rumah ni, saya tak terfikir suatu hari nanti saya dapat rumah macam ni, dapatlah saya tinggal dengan isteri dan anak bongsu.
“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan UAE memberi bantuan rumah bagi mangsa banjir seperti yang ada hari ini. Saya rasa rezeki yang tak terfikir oleh kita, rezeki seperti dapat durian runtuh. Alhamdulillah dapat sambut Ramadan tahun ini di rumah baharu,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Emirates Red Crescent (ERC) dan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 32 orang penerima dari daerah Bentong, di Kampung Perdak di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seramai 28 orang mangsa banjir dari daerah Bentong menerima kurniaan rumah ERC dan empat lagi menerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA). -KESULTANAN PAHANG






