Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena genap tujuh tahun pada hari ini Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menaiki takhta selaku Sultan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Pahang Darul Makmur.
Pacal-pacal patik sekalian dari Majlis Kesultanan Pahang menyembahkan ucapan dan berdoa semoga Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT, dikurniakan kesihatan dan keselamatan berpanjangan, diberikan petunjuk dan hidayah dalam memayungi negeri Pahang Darul Makmur.
Semoga jua Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat serta berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Semoga Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan dalam memerintah rakyat Pahang Darul Makmur dengan adil dan saksama.
Pacal-pacal patik dan sekalian akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.
DIRGAHAYU TUANKU







