KUANTAN, 2 Disember 2025 – Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menerima sejumlah RM22.87 juta zakat perniagaan daripada 15 badan korporat yang tampil menunaikan kewajipan berkenaan, hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima zakat berkenaan dalam majlis penyampaian yang diadakan di Istana Abdulaziz.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11 pagi ke Balai Temenggong diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebanyak 15 buah syarikat menunaikan zakat iaitu Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang; Far East Holdings Berhad; Kumpulan DRB-Hicom; LKPP Corporation Sdn Bhd & Dominion Square Sdn Bhd; Felcra Wilayah Pahang Berhad; Tenaga Nasional Berhad (TNB); Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd serta RHB Islamic Bank Berhad.
Badan korporat lain ialah Lembaga Jurukur Tanah Malaysia; Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA); YP Maintenance Sdn Bhd; SMR Selenggara (Pahang) Sdn Bhd; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Marvel Management Communication Sdn Bhd. -KESULTANAN PAHANG







