KUANTAN, 17 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyifatkan pemergian Allahyarham YB Dato’ Sri Johari Harun adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa amat berdukacita di atas pemergian Allahyarham yang merupakan seorang rakan yang akrab dengan Baginda dan keluarga Baginda.
Istana Negara dalam satu hantaran berkata, Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan Allahyarham YB Dato’ Sri Johari kepada Negeri Pahang, khususnya dalam memperjuangkan masyarakat desa dan luar bandar.
Sementara itu baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa lain yang terkorban dalam nahas jet persendirian di Elmina, Shah Alam, Selangor, petang hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini dan mendoakan agar roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata kenyataan itu. – PAHANGMEDIA