PEKAN 25 November 2025 – Tiada tempat untuk penagih dadah menghuni di Tanah Kesultanan (tanah kurniaan Sultan Pahang).
Demikian tegas KDPB Sultan Pahang menasihati ibu bapa agar memberi perhatian terhadap pembentukan jati diri anak-anak serta memastikan mereka menjauhi gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.
“Di sini saya nak ingatkan, mana-mana anak yang terlibat dengan dadah, akan saya usirkan dari Tanah Kesultanan kerana saya hendak rakyat yang tinggal di Tanah Kesultanan ini benar-benar bersih dari segala aspeknya.






“Pertama, kebersihan di rumah dan kebersihan diri anak-anak muda kita ini,” titah Paduka Baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 26 orang penerima dari daerah Pekan, Kuantan dan Rompin di Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, Kampung Polo di sini hari ini.
Paduka Baginda turut menyarankan kepada seramai 3,729 penduduk yang menetap di atas Tanah Kesultanan untuk mengemukakan sebarang cadangan dan idea kepada Majlis Kesultanan Pahang bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah kurniaan tersebut.
“Usaha bersama ini diharap dapat memperkukuhkan kemakmuran Tanah Kesultanan serta menjamin kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







