PIALA TUNKU AZIZAH – PERTANDINGAN TENUN PAHANG DIRAJA TERIMA
SAMBUTAN LUAR BIASA DENGAN 103 PENYERTAAN SELURUH NEGARA
PEKAN 18 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa terharu dan sukacita atas sambutan yang amat menggalakkan terhadap penyertaan Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Penganjuran yang julung kali diadakan itu dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia berjaya menarik penyertaan sebanyak 103 peserta dengan membabitkan 206 produk yang dihasilkan.
Pertandingan yang bermula pada 27 Mac 2025 hingga 30 April 2025 itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama para pencinta tekstil.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah, semua produk yang dipertandingkan iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi itu akan dinilai oleh lima orang juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
“Juri profesional diketuai oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan dibantu oleh empat lagi pakar tekstil negara seperti Dr. Habibah binti Abdul Jabar; Prof. Dr. Norwani binti Md Nawawi; Noorizal bin Ramly dan Noridah binti Johan.

“Panel juri akan membuat pernilaian berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi dan komersial. Paling utama Adalah penghasilan produk mesti menggunakan kaedah pembentukan tangan yang termaktub dalam definisi kraftangan yang digariskan oleh UNESCO.
“Penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan. Setiap produk yang dihasilkan wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dalam aspek motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya,” titah Paduka Baginda menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Paduka Baginda bertitah, sejumlah RM104,000.00 wang tunai yang ditawarkan menerusi pertandingan ini iaitu tempat pertama bakal mendapat wang tunai RM30,000.00 berserta piala dan sijil; tempat kedua sebanyak RM20,000.00 berserta piala dan sijil; tempat ketiga sebanyak RM10,000.00 berserta piala dan sijil manakala saguhati tempat keempat hingga kelapan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000.00 berserta piala dan sijil. Bagaimanapun, saguhati tempat kesembilan hingga ke-20 akan menerima sebanyak RM2,000.00 dan sijil.
Keputusan pemenang Piala Tunku Azizah -Pertandingan Tenun Pahang Diraja ini akan diketahui pada 24 Ogos 2025 daripada 20 rekaan terbaik yang disenarai pendek menerusi sesi perjurian pada 21 hingga 23 Ogos 2025.
Majlis penyampaian hadiah Piala Tunku Azizah akan diadakan secara gilang-gemilang bersama-sama Majlis Perasmian Temasya Warisan Pahang pada 31 Ogos 2025 di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan, Pahang dengan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menariknya, pada malam tersebut Paduka Baginda dengan rasminya akan melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah yang sebelum ini dimeterai pertubuhannya pada 21 Disember 2023.
Peserta Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara termasuk Sarawak seperti individu, pelajar, usahawan serta banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Semua produk yang dipertandingkan akan dipamerkan sempena Temasya Warisan Pahang yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 7 September 2025 di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan, Pahang.
Sementara itu, Paduka Baginda bertitah bahawa pertandingan ini merupakan platform penting dalam memperkasa serta memperluas pengaruh Tenun Pahang Diraja di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pertandingan bertujuan mencungkil bakat kreatif dan inovatif dalam kalangan penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik, serta kemahiran dengan potensi nilai komersial, “ titah Paduka Baginda.
Sebarang pertanyaan berkaitan boleh menghubungi Sekretariat Yayasan Tenun Pahang Diraja iaitu Encik Juhari bin Azmi ditalian 012-4292549 atau emel [email protected].





