PANDUAN PENERIMA ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH - DARJAH NEGERI PAHANG, BINTANG - BINTANG DAN PINGAT NEGERI PAHANG
PANDUAN PENERIMA PINGAT
1. PENERIMA MELAYU
BAGI LELAKI
- Berbaju Kebangsaan (Baju Melayu Cekak Musang) berwarna Hitam lengkap berbutang.
- Sampin Songket Hitam berbenang emas
- Songkok Hitam tanpa lilitan
- Kasut Hitam dan berstoking hitam
BAGI PEREMPUAN
- Berbaju Kurung atau Kebaya Labuh
- Berselendang (kecuali yang memakai tudung/ mini telekung)
- Berkasut penuh (menutup jari kaki)
2. PENERIMA BUKAN MELAYU
BAGI LELAKI
- Lounge Suit berwarna gelap
- Baju kemeja lengan panjang berwarna cerah
- Bertali leher
- Kasut Hitam dan berstoking hitam
PAKAIAN SERAGAM
- Anggota berpakaian seragam seperti Tentera dan polis boleh memakai pakaian seragam masing-masing.
- Anggota Perkhidmatan Awam yang berkelayakan boleh jua memakai Pakaian No.1
BAGI PEREMPUAN
- Pakaian Kebangsaan masing-masing atau
- Pakaian yang bersesuaian yang panjangnya tidak kurang dari paras bawah lutut.
- Berkasut penuh (menutup jari kaki
NOTA PENTING
** Penerima hendaklah tidak memakai apa-apa pingat yang pernah diterima sebelum ini.(Jika ada)
3. PAKAIAN YANG DILARANG
- Pakaian selain daripada yang disebutkan diatas.
- Dilarang memakai pakaian yang nipis, pendek dan ketat bagi wanita.
- Dilarang memakai pakaian sedondon berwarna kuning dan putih
** Hadirin yang gagal mematuhi panduan pakaian ini tidak dibenarkan masuk atau berada di dalam Balairong Seri semasa istiadat di jalankan.
ADAT & TERTIB DALAM BALAIRONG SERI, ISTANA NEGERI
Pakaian hendaklah mematuhi tatacara berpakaian seperti yang telah di tetapkan di dalam kad jemputan.
Ketika duduk di kerusi, anda hendaklah tidak bersilang kali atau bersila panggung, berlunjur mahupun duduk dengan gaya bersantai.
Jika hendak berbual, hendaklah dengan penuh tertib dan perlahan. Elakkan dari meninggikan suara dalam perbualan dan mengawal ketawa supaya tidak terlalu kuat.
Tidak dibenarkan membawa kamera, telefon bimbit (berkamera) di dalam Balairong Seri. Kamera boleh ditinggalkan dengan Bentara Istana atau di simpan di dalam beg tangan masing-masing bagi wanita.
Tidak dibenarkan mengambil gambar dengan kamera/telefon bimbit sendiri di dalam Balairong Seri dan mana-mana bahagian di dalam Bangunan Istana Negeri. Walaubagaimanapun, kamera dibenarkan digunakan di mana-mana laman Istana.
Telefon bimbit adalah dilarang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Jika terpaksa, telefon berkenaan hendaklah dimatikan. Pengunaan ‘Silent Mode” juga tidak digalakkan kerana dibimbangi akan terdapat kemungkinan ianya berbunyi sendiri dan menganggu suasana di dalam Balairong Seri.
TATACARA KEBERANGKATAN KDPB SULTAN PAHANG DAN KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG
Kesemua hadirin di dalam Balairong Seri handaklah berdiri.
Hadirin yang duduk di laluan masuk hendaklah mengadap laluan.
Hadirin diminta tunduk hormat ataupun tabik hormat ( bagi yang
berpakaian seragam) apabila KDPB Tuanku berdua melalui di hadapan mereka.
PERILAKU PENERIMA PINGAT
Ketika berdiri dalam barisan berkumpulan semasa menunggu giliran untuk menerima pingat, jangan menjenguk mahupun bergerak ke kiri dan ke kanan.
Jangan berdiri terlalu jauh ataupun terlalu dekat semasa hendak menerima pingat. Sila berdiri di lokasi yang telah ditanda pada
permaidani.
Jika memakai Lounge Suit (penerima bukan melayu) pastikan kesemua butang jaket dikenakan semasa mengadap untuk menerima pingat daripada SPB Yang di-Pertuan Agong.
Setelah menerima pingat, ucapkan ” MENJUNJUNG KASIH TUANKU” ataupun “MENJUNJUNG KURNIA TUANKU” sebagai ganti ungkapan terima kasih.
Undur tiga langkah kebelakang sebelum pusing pulang ke tempat duduk masing-masing.
Jika pingat terjatuh semasa anda berdiri di hadapan KDPB Tuanku, jangan lakukan apa-apa. Seorang pegawai yang bertugas ketika itu akan mengambil pingat tersebut.
Jika pingat terjatuh ketika anda dalam perjalanan ke tempat duduk, mengadap KDPB Tuanku, tunduk hormat, kutip pingat, tunduk hormat sekali lagi dan terus berjalan ke tempat duduk.
PERINGATAN AM
Masa kehadiran penerima dan tetamu hendaklah tiba awal seperti dinyatakan di dalam Kad Jemputan dan pastikan kedudukan tempat duduk di dalam Balairong Seri.
Buku Aturcara majlis hanya disediakan untuk penerima sahaja dan hendaklah tidak diletakkan di atas lantai, dibawah punggung atau dibelakang kerusi sebagai sandaran.
Dapatkan pin untuk menyemat pingat daripada bentara/pegawai istiadat bertugas semasa hari raptai atau ketika sebelum majlis bermula. Pin untuk pingat hendaklah disematkan dengan betul, satu inci dari poket supaya tidak mengelebeh atau terjatuh.
Bilik air terdapat di sebelah belakang berhampiran pintu utama Balairong Seri. Hadirin yang terpaksa ke bilik air hendaklah bangun, tunduk hormat dan bergerak dengan tertib ke bilik air. Sebelum duduk semula, hadirin perlu tunduk hormat sekali lagi. Jika boleh, elakkan ke bilik air semasa istiadat sedang berlangsung.
Hadirin tidak dibenarkan keluar dari Balairong semasa istiadat sedang berlangsung dan sebelum keberangkatan KDPB Sultan Pahang dan KDPB Tengku Ampuan Pahang keluar dari Balairong Seri.
Jamuan makan bagi meraikan penerima dan tetamu ada disediakan di Dewan Santapan, Istana Negeri.
Setelah selesai majlis, penerima dikehendaki untuk berurusan dengan pegawai-pegawai dari Bahagian Istiadat Majlis Kesultanan Pahang yang bertugas di Balairong Seri bagi memulangkan semula pin pingat, mendapatkan kotak pingat, watikah dan borang tuntutan perjalanan (bagi pesara-pesara).
Penerima dan tetamu mereka boleh bergambar di hadapan Singgahsana di dalam Balairong Seri tetapi dengan hanya menggunakan perkhidmatan jurugambar yang disediakan.
PENYERAHAN WATIKAH
Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Pahang yang telah menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan dan belum menerima watikah pengurniaan boleh menghubungi Pihak Urusetia Bahagian Istiadat & Protokol Majlis Kesultanan Pahang bagi urusan pengemaskinian alamat dan penyerahan Watikah berkenaan.
LAIN-LAIN PERKARA
Sebarang pertanyaan berkaitan majlis istiadat ini sila berhubung dengan :
Bahagian Istiadat dan Protokol
Majlis Kesultanan Pahang

Laman web ini dimiliki dan dikendalikan oleh MAJLIS KESULTANAN PAHANG. Perisian, semua halaman, imej, teks, multimedia dan kandungan lain dalam laman web ini adalah hak milik MAJLIS KESULTANAN PAHANG, melainkan jika dinyatakan dengan jelas.
Hakcipta Terpelihara © 2024 Majlis Kesultanan Pahang. Paparan terbaik dalam Google Chrome, Mozilla Firefox. Resolusi 1024 x 768

#MajuTerusPahang
Jumlah Pengunjung/Hit Counter





