KUCHING, 8 Disember 2025 – Sarawak merupakan contoh terbaik dalam usaha memelihara, menghidupkan dan meneruskan warisan budaya secara holistik, titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Ketika bertitah merasmikan Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini, Paduka Baginda menyifatkan keunikan dan keharmonian masyarakat Borneo lahir daripada ratusan tahun hidup bersama dalam saling hormat dan penerimaan.
“Borneo benar-benar bertuah. Tidak banyak tempat di dunia mampu memiliki kepelbagaian manusia, bahasa, kepercayaan dan keindahan seni seperti di sini. Melayu, Dayak, Orang Ulu, Kadazan-Dusun, Murut, Melanau, Penan, Bajau, Iban, Bidayuh di mana setiap satu hidup berdampingan dan menyumbang kepada fabrik budaya yang sama. Keindahan tekstil Borneo sebenarnya adalah cerminan keindahan rakyatnya,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu pada majlis sama, Paduka Baginda bertitah bahawa seni tekstil Borneo bukan hanya cantik secara visual tetapi sarat dengan makna, falsafah dan kosmologi.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut memuji usaha kerajaan negeri, institusi dan masyarakat Sarawak dalam memelihara warisan.
“Sarawak tidak sekadar memelihara. Sarawak menghidupkan warisan. Anak muda kamu menari tarian kamu, menenun pua kamu, mengukir cerita ke dalam kayu, dan memakainya dengan bangga.
“Saya amat berharap agar generasi muda terus memakai dan meraikan identiti budaya mereka. Jangan simpan keringkam atau pua kumbu dalam almari. Pakai, cintai, dan tunjukkan ia sebagai kebanggaan. Sebuah benang itu rapuh, tetapi bila kita tenun bersama, kita membina tamadun,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengiktiraf peranan institusi seperti Juma’ani Pavilion, CENTEXS, Yayasan Temenggong Jugah dan tokoh kreatif seperti Tom Abang Saufi sebagai pemacu kelestarian seni warisan.
“Kejayaan Muzium Budaya Borneo yang kini dinobatkan nombor satu dunia, mengatasi Louvre amat dibanggakan. Ini bukan kemenangan Sarawak sahaja, tetapi kemenangan Borneo, Malaysia dan ASEAN,” titah Paduka Baginda -KESULTANAN PAHANG







