KUALA LUMPUR, 28 September, 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah bahawa seni merupakan jiwa sesebuah bangsa, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara serta meraikannya agar tidak pupus ditelan zaman.
Paduka Baginda bertitah, warisan bukan sekadar tenunan atau songket, malah nyanyian, masakan, tarian, penceritaan, permainan dan segala-galanya yang membentuk jati diri sebagai sebuah bangsa.
“Acara seni seperti ini amat bermakna kerana warisan seni amat dekat di hati saya sejak kecil lagi. Melalui warisan, saya berasa lebih dekat bukan sahaja dengan keluarga, tetapi juga dengan rakyat Pahang. Bersama-sama, kita berkongsi rasa cinta ini dan saling memberi dorongan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup ‘CIMB Artober Art & Soul 2025’ di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) di sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu Paduka Baginda turut menzahirkan kebanggaan terhadap YAM Tengku Puteri Raja Tengku Jihan yang menamatkan pengajian dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam Seni Tekstil dari University for the Creative Arts, Epsom, England, dan memilih untuk mendalami bidang tenunan serta tekstil Melayu.
“Ini bukan sahaja kebanggaan saya sebagai seorang ibu, tetapi juga kegembiraan saya sebagai seorang yang percaya bahawa seni dan warisan mesti dihidupkan, diamalkan dan diteruskan. Melalui dirinya, saya berharap semangat ini akan terus hidup,” titah Paduka Baginda.
Dalam titah sama Paduka Baginda turut menyentuh tentang pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah pada 31 Ogos lalu, yang lahir daripada kecintaan Paduka Baginda terhadap seni dan kraf tradisional.
“Pada 31 Ogos 2025, saya telah melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah atau Tunku Azizah Heritage Foundation di mana ia merupakan impian sepanjang hayat saya yang lahir daripada kecintaan mendalam terhadap semua bentuk seni dan kraf tradisional.
“Adalah menjadi hasrat paling tulus saya agar yayasan ini menjadi legasi saya, satu sumbangan yang berkekalan untuk Malaysia.
“Pelbagai program pada pelancaran tersebut termasuklah Temasya Warisan Pahang yang berjaya menarik kira-kira 100,000 pengunjung, termasuk penyertaan 150 peserta dari Sarawak, membuktikan warisan mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat,” titah Paduka Baginda.
Mengimbau peranan istana sejak dahulu, Paduka Baginda menjelaskan bahawa banyak seni kraf halus seperti songket, tekat, telepuk, batik dan tenunan telah berkembang melalui penaungan istana.
“Tokoh wanita diraja terdahulu termasuk Raja Perempuan Taayah dari Perak, Tengku Ampuan Jemaah dari Selangor, Raja Perempuan Anis dari Kelantan dan Tengku Ampuan Besar Meriam dari Pahang menjadi contoh penaung seni yang gigih memastikan warisan tersebut kekal hidup hingga kini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menekankan bahawa pendidikan seni harus kembali diberi perhatian, bukan sekadar sebagai kemahiran tetapi sebagai santapan jiwa yang bersifat terapeutik, menenangkan, dan menyembuhkan, sebagaimana yang terbukti dalam program pemulihan banduan melalui kraf.
“Mereka telah membuktikan bahawa walaupun di sebalik tembok penjara, keindahan dan kecemerlangan tetap dapat dilahirkan, dan harapan dapat dikembalikan,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda juga berkongsi inspirasi yang diperoleh daripada lawatan rasmi ke luar negara, termasuk Thailand, Brunei, Indonesia dan Turki, yang menunjukkan usaha serius mereka dalam memelihara warisan melalui institusi, latihan dan dokumentasi.
Menurut Paduka Baginda, Malaysia juga perlu mencontohi langkah ini agar warisan kita tidak hanya dipamerkan di muzium, tetapi terus dipelajari, diamalkan dan dihasilkan semula.
“Saya percaya, menjadi tanggungjawab kita hari ini untuk memastikan warisan kita terus hidup untuk generasi seterusnya. Tradisi memberi kita keaslian, pendidikan memberi kita teknik dan inovasi. Digabungkan, kedua-duanya mampu menghasilkan karya yang baharu, segar, relevan, namun tetap berakar kuat kepada warisan kita,” titah Paduka Baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan bahawa seni kraf bukan sahaja lambang kebanggaan budaya, tetapi juga menawarkan potensi ekonomi dan kelestarian.
“Kraf kita adalah cap jari kita, seni kita adalah jiwa kita. Maka marilah kita memeliharanya, meraikannya, dan menghadiahkannya kepada generasi masa hadapan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG