KUANTAN, 19 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menyeru agar penggunaan tulisan Jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan di seluruh negeri ini diseragamkan.
Paduka Baginda menegaskan bahawa tulisan Jawi bukan sahaja lambang identiti Melayu-Islam, malah merupakan warisan rohani dan intelektual yang merakam sejarah, mengungkap ilmu agama, mengatur undang-undang dan menyampaikan karya sastera sejak berkurun lamanya.
“Saya rasa bangga apabila papan tanda di premis perniagaan dan iklan di daerah-daerah di negeri Pahang telah mempunyai tulisan Jawi. Namun, bagi memperkasakan lagi persekitaran Jawi, langkah-langkah menyeluruh dan berkesan perlu diambil oleh semua pihak,” titah Paduka Baginda.
Antara langkah itu, menurut Paduka Baginda, ialah pihak berkuasa tempatan menyeragamkan penulisan Jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan. Selain itu, lebih ramai pakar Jawi perlu dilahirkan melalui kursus intensif secara konsisten oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Paduka Baginda turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital dengan mewujudkan aplikasi dan platform media sosial berasaskan Jawi, selain mempergiatkan penyelidikan manuskrip Melayu bertulisan Jawi oleh institusi pengajian tinggi bagi memastikan khazanah ilmu terus disebarluaskan kepada masyarakat.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, MUIP, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Munsyi Dewan Jawi yang sentiasa berusaha menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi melalui pelbagai program.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar buku “Mahir Jawi: Panduan Komprehensif Untuk Semua Peringkat” hasil usaha Munsyi Dewan Jawi UniPSAS dapat menjadi rujukan masyarakat serta panduan pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti.
“Memelihara tulisan Jawi bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.
“Tulisan Jawi adalah nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu. Andai ia pupus daripada kehidupan, seakan-akan hilanglah sebahagian roh dan jiwa bangsa ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat negeri Pahang menjadi pelopor dalam menghidupkan semula roh tulisan Jawi agar ia terus berperanan sebagai nadi kehidupan, bukan hanya khazanah yang tersimpan di muzium. -KESULTANAN PAHANG





