SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT AGAR DIPERMUDAHKAN PROSEDUR RAWATAN SULTAN BRUNEI
KUANTAN 15 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan doa dan harapan agar prosedur rawatan lutut kepada Sultan Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien berjalan dengan lancar.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang dijadualkan menjalani rawatan pada 18 Januari 2026 di Brunei akan dikurniakan kesembuhan dan kesihatan berpanjangan dari Allah SWT.
Justeru, pada malam ini diadakan solat hajat serta doa selamat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah dan Istana Abdulaziz, Kuantan bagi dipermudahkan rawatan tersebut. – KESULTANAN PAHANG







