KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 — KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj mendedahkan bahawa KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Hajah Norashikin merupakan dua figura yang begitu sayang kepada haiwan terutamanya kucing.
Paduka Baginda bertitah berkongsi cerita bagaimana KDPB Sultan Pahang melayani kucing dan pernah berkongsi kamar beradu bersama 25 ekor kucing dengan rasa penuh kasih sayang sewaktu Paduka Baginda berusia belasan tahun.
“Saya tanya Kebawah Duli Tuanku, tak berbau (busuk) ke sebab kucing-kucing itu turut kongsi bilik air, tapi Kebawah Duli Tuanku jawab tidak dan cakap sudah biasa (tinggal dengan kucing-kucing), malah ingat setiap nama kucing milik Kebawah Duli Tuanku.
“Ketika di Istana Negara, lima tahun kami share bilik tidur dan bilik air dengan tiga ekor kucing ye, tapi hanya dua ekor yang ikut balik ke Pahang manakala seekor lagi namanya ‘Si Juling’ kekal tinggal menjadi kesayangan warga Istana Negara,” kongsi Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan dan Pameran Kucing Antarabangsa 2025 (NCSE2025) kali kedua yang dianjurkan oleh Kelab Abu Hurairah UIAM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak , hari ini.
Sementara itu Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kagum terhadap rasa kasih DYMM Tengku Permaisuri Selangor yang begitu mendalam terhadap kucing.
“Saya ingat lagi pada tahun 2023, ketika ke Mekah menunaikan ibadah haji, DYMM Tengku Permaisuri Selangor bawa dua suitcase besar berisi makanan kucing untuk kucing-kucing di sana.
“Tiap-tiap hari bila jumpa, saya nampak Tengku Permaisuri bawa makanan kucing dan bagi kepada kucing-kucing di sana makan. Begitulah sayangnya Tengku Permaisuri kepada kucing sehingga dirumahnya juga ada rumah kucing yang besar.
“Begitu juga ketika berangkat ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pekan, Tengku Permaisuri sangat suka melayani kucing-kucing yang ada di situ, malah menghantar makanan kepada kucing di situ,” titah Paduka Baginda .
Berkongsi cerita sama berkenaan kucing, Paduka Baginda turut mengakui rasa kasih terhadap haiwan itu turut dimiliki anakanda Paduka Baginda seperti YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memiliki tujuh ekor kucing.
Menariknya titah Paduka Baginda, YAM Tengku Ahmad gemar mengambil kucing jalanan yang ditemui untuk dipelihara dan mengasihi kucing-kucing berkenaan tanpa mengira jenis dan baka. -KESULTANAN PAHANG






