KUCHING, 9 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat melawat Jumaani Pavilion, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 4 petang diiringi YAM Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada lawatan berkenaan Paduka Baginda berkenan meninjau proses penghasilan songket di Jumaani Pavilion Production Centre serta menyaksikan demonstrasi tenunan oleh tenaga muda.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan secara langsung demonstrasi jahitan dan proses tenunan songket yang dipersembahkan oleh prospek-prospek tenunan.
Pada majlis sama Paduka Baginda turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara CENTEXS dan Tun Jugah Foundation.
Kerjasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang latihan, pemindahan kepakaran dan penghasilan tenaga mahir tempatan, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan industri kreatif sebagai pemacu ekonomi berteraskan budaya. -KESULTANAN PAHANG







