KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah Tenun Pahang bukan sekadar kain (tekstil), sebaliknya merupakan warisan hidup yang merakam kisah perjalanan masa dan hasil sentuhan tangan-tangan halus merentasi generasi.
Menurut Paduka Baginda, setiap helaian benang membawa memori, setiap motif mengandungi makna, manakala setiap hasil tenunan mencerminkan kehalusan sebuah tamadun yang berteraskan disiplin, keseimbangan dan maruah.
“Tenun Pahang Diraja adalah manifestasi identiti Melayu yang tidak ternilai, dengan sejarahnya telah berakar sejak era Langkasuka dan Kesultanan Melaka, jauh sebelum kedatangan Bugis pada abad ke-17.
“Kedatangan Bugis, telah memperkaya seni tenunan melalui pengenalan reka bentuk dan teknik baharu, namun ia telah disesuaikan dan diperhalusi sehingga membentuk identiti tersendiri yang kekal hingga hari ini. Apa yang kekal kini bukanlah tiruan, tetapi jati diri,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Bicara Diraja bersempena Pameran Khas Busana : Pakaian Tradisi di Dunia Melayu di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi turut disambut Pemegang Amanah Yayasan Tenun Pahang Diraja, YM Tengku Kelana Sri Diraja, Dato’ Sri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah; Pemegang Amanah Yayasan Tenun Pahang Diraja, Dato’ Zakiah Ahmad; Ketua Bahagian Koleksi, Madam Rekha Verma serta Ketua Bahagian Pendidikan dan Pemegang Amanah Yayasan Albukhary, Puan Sri Sharifah Zarah Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary.
Pada majlis anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja bersama Muzium Kesenian Islam dan disokong oleh Yayasan Albukhary itu, Paduka Baginda berkenan berkongsi cerita perjalanan dan usaha mengangkat Tenun Pahang sehingga dikenali di persada antarabangsa.
Paduka Baginda turut mengimbau bagaimana seni tenun yang bermula sebagai kraf domestik di rumah-rumah kampung akhirnya berkembang menjadi lambang kehalusan dan keanggunan, seterusnya diiktiraf sebagai warisan diraja Pahang pada tahun 2006 melalui pemasyhuran Tenun Pahang Diraja.
Sebagai Tengku Ampuan Pahang, Paduka Baginda menzahirkan bahawa peranan Paduka Baginda bukan sekadar memelihara tradisi, tetapi memastikan warisan tersebut terus relevan, bermakna dan hidup dalam arus perubahan zaman.
“Warisan tidak hanya sekadar dipamerkan di muzium, sebaliknya perlu dipakai, dihayati dan dicintai oleh masyarakat,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyentuh cabaran dalam memelihara warisan tradisional dalam dunia fesyen moden yang pantas, dengan menekankan kepentingan mengekalkan keseimbangan antara inovasi dan nilai asal.
“Pemodenan tidak seharusnya menghilangkan jiwa sesuatu kraf, kerana nilai sebenar tekstil tradisional terletak pada proses pembuatannya yang teliti, perlahan dan sarat dengan sentuhan kemanusiaan,” titah Paduka Baginda.
Mengimbau usaha menghidupkan semula seni tenunan, Paduka Baginda bertitah bahawa pada tahun 2005, Baginda menerima ilham daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang, untuk mengangkat kembali kraf yang hampir pupus.
Usaha tersebut diperkukuh melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia menerusi program pemulihan tenunan.
“Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan kembali warisan, malah memberi peluang kedua kepada penghuni penjara untuk membina semula kehidupan melalui kemahiran yang dipelajari.
“Hari ini, kita bukan sahaja menghidupkan semula satu kraf, tetapi turut mengembalikan maruah, harapan dan kemanusiaan,” titah Paduka Baginda.
Kini, Tenun Pahang Diraja telah menembusi pasaran antarabangsa, dipakai oleh pemimpin dunia serta dipamerkan di pelbagai platform global, sekali gus berperanan sebagai medium diplomasi budaya yang memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.
Melalui Yayasan Tenun Pahang Diraja, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah serta Yayasan Warisan Tunku Azizah, pelbagai usaha terus dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan warisan ini melalui latihan, inovasi serta pemerkasaan komuniti, termasuk penerokaan platform digital dan kerjasama antarabangsa.
Bersempena sesi Bicara Diraja tersebut, sebanyak 14 koleksi Tenun Pahang Diraja turut dipamerkan untuk tatapan para pengunjung.
Pameran Busana: Pakaian Tradisi di Dunia Melayu yang menghimpunkan hampir 100 artifak itu merupakan usaha Muzium Kesenian Islam Malaysia dalam memartabatkan busana tradisi Melayu serta melestarikannya untuk generasi akan datang.
Antara artifak yang dipamerkan termasuk kain lepas, busana lengkap, kain samping, destar dan hiasan kepala, kebaya nyonya serta barang kemas yang mempunyai nilai sejarah dan estetika tinggi.
Turut dipamerkan ialah koleksi fotograf bersejarah yang menggambarkan pemakaian busana Melayu dalam kalangan golongan diraja, bangsawan dan rakyat jelata pada zaman silam, termasuk busana tenun songket beragi serta kain tenun Hujan Gerimis dari negeri Pahang yang dipamerkan bersama imej arkib istiadat perkahwinan diraja di Pekan.
Pameran ini dilihat seiring dengan usaha berterusan Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam mempertahankan dan memartabatkan seni warisan negeri Pahang sebagai khazanah yang tidak ternilai dan kekal relevan sepanjang zaman. -KESULTANAN PAHANG







